Saturday, January 8, 2011

Bagaimana Mengatasi Masalah Plateau? Part 6 (Terakhir).

6. Cubalah Berpuasa Diet Lemak.
Teknik ini adalah cadangan cara diet Atkins, tetapi ianya patut digunakan hanya bagi orang yang memang tidak berjaya juga mengikut cadangan-cadangan saya sebelum ini untuk mengatasi masalah plateau. Hanya orang yang mengalami masalah halangan metabolisma keterlaluan sahaja patut mencuba cara ini dan memang tidak berjaya langsung untuk menurunkan berat badan mereka walau dengan apa cara sekalipun.
Cara atau teknik ini sebenarnya adalah hasil kajian oleh Kekwick & Pawan dimana para penyelidik telah memberi pesakit yang dikaji dengan 1,000 kalori diet makanan sehari dimasa 90% daripadanya adalah lemak. Hasilnya memang sangat berkesan serta menunjukkan penurunan berat yang sangat baik dari program diet yang lain.
Pada tahap ini anda memang kena belajar mengira kalori jenis-jenis makanan. Didalam versi Atkins, anda juga disarankan hanya memakan 1,000 kalori makanan sehari dengan 70% ke 90% daripadanya datang dari lemak. Atkins mencadangkan untuk mengambil 5 kali sehari makanan dengan saiz yang kecil dengan jumlah lebihkurang 200 kalori setiap hidangan.
Contoh makanan hidangan berlemak sebanyak 200 kalori tersebut adalah seperti berikut:-
  • 30 gm kacang macademia atau butter kacang macademia
  • 60 gm cheese berkrim
  • 2 biji telur dengan 1 sudu besar mayonaise
  • 30 gm ikan tuna atau dada ayam dengan 2 sudu kecil mayonaise beserta seperempat buah avocado
  • 60 gm hirisan daging yg dimasak dengan 2 sudu besar minyak zaitun
Atkins menekankan bahawa teknik ini agak merbahaya untuk orang yang tidak menghadapi masalah halangan metabolisma keterlaluan kerana penurunan berat badan yang berlaku adalah terlalu cepat untuk keselamatan dan kesihatan seseorang.
Atkins hanya menggunakan kaedah ini untuk orang yang memang langsung tidak boleh menurunkan berat badan mereka walau dengan apa cara sekalipun, sebagai usaha untuk menggalakkan para pendiet bahawa penurunan berat badan memang  boleh berlaku bagi setiap orang. Namun begitu, teknik ini hanya digunakan untuk tidak lebih dari 5 hari sahaja.
Jika anda memang terdiri dari kategori orang-orang yang mengalami halangan metabolisma keterlaluan, maka bolehlah mencuba cadangan yang terakhir ini. Selepas 5 hari, maka anda boleh mencuba semula diet SD2 dan lihatlah kesannya pada penurunan berat badan selanjutnya.
Jika anda tidak berjaya juga mengikut cadangan yang terakhir ini, maka bersyukurlah pada Tuhan dengan apa yang anda ada, berdoalah supaya anda sentiasa sihat dan tidak perlulah lagi bersusah payah serta membazirkan masa serta wang dengan  mencuba berbagai-bagai program diet yang memang bukan untuk tubuh anda. Namun begitu, jangan sekali-kali mengambil ubat diet atau ubat menguruskan badan yang kesan sampingannya lebih bahaya daripada anda kekal dengan berat serta bentuk badan yang sedia ada.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...